Khutbah Jumaat JAKIM



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ PENYALAHGUNA KUASA, PENGAMAL RASUAH
PENGKHIANAT SATU MALAYSIA ”
(05 MAC 2010 / 19 RABIUL AWWAL 1431)

الحَمْدُ ِللهِ الَّذِي أَبَاحَ لِعِبَادِهِ جَمِيْعَ الطَّيِّبَاتِ وَحَرَّمَ عَلَيْهِمُ الخَبَائِثَ وَالمُضَرَّاتِ،
ﭽ ﭾ ﭿ ﮀ ﮁ ﮂ ﮃ ﮄ ﮅ ﮆ ﮇ ﮈ ﮉ ﮊ(سورة البقرة:172)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ذُوْ الفَضْلِ الْعَظِيْمِ وَالعَطَاءِ العَمِيْمِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ المُصْطَفَى الكَرِيْمُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِمُ الْقَوِيْمُ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُواْ اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai dengan berbekalkan sumber rezeki halal. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sempena dengan sambutan ulangtahun sulung penubuhan suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disambut pada 24 Februari 2010 lalu, mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: “Penyalahguna Kuasa, Pengamal Rasuah Pengkhianat Satu Malaysia”.




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Umat Islam secara fitrahnya adalah terpelihara darah dan harta mereka. Oleh itu, apa-apa juga perkara yang mempunyai unsur khianat terhadapnya adalah dianggap melakukan perbuatan jenayah. Bahkan wajib diperangi ke atas orang yang melakukan kezaliman kepada hak harta dan darah orang lain tanpa sebarang alasan yang dibenarkan syarak. Berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, lazimnya tabiat memakan harta secara salah, memberi rasuah atau menerima rasuah serta menzalimi hak orang lain dilakukan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188:

Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Apa yang menakutkan lagi, orang yang melakukan perbuatan rasuah, menzalimi orang lain, mendatangkan kerosakan dan kemusnahan pihak lain mendapat laknat Allah SWT dengan azab yang sangat keras. Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ شَيْئًا مِنَ الأَرْضِ بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ
Mafhumnya: “Sesiapa yang mengambil tanah tanpa haknya, maka dia akan ditenggelamkan dengan tanahnya pada hari kiamat sehingga ke dasar tujuh lapisan bumi”.(Riwayat Bukhari)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Penjenayah rasuah yang pelbagai latarbelakang ini membawa imej negatif terhadap kebersihan dan ketelusan perkhidmatan negara. Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009, sebanyak 500 tangkapan telah dibuat atas kesalahan jenayah rasuah. Daripada jumlah ini di dapati seramai 191 orang atau 38.2 peratus adalah penjawat awam dan seramai 180 orang atau 38 peratus adalah orang awam. Manakala selebihnya ahli-ahli politik, anggota pentadbiran, kakitangan swasta dan lain-lain.
Bagaimana pun apa yang membimbangkan kita kini ialah bilangan orang awam yang terlibat rasuah semakin meningkat. Sekiranya penjawat awam dan masyarakat bersikap tidak peduli, maka dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara. Malah para pelabur asing akan lari kerana bimbang diburu oleh pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa ini. Apatahlagi pada masa ini tersebar dakwaan jahat media asing tentang amalan rasuah di negara ini yang semakin membimbangkan pelabur.
Justeru, Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mengumpul kekayaan secara halal dengan kudrat dan kemampuan yang ada. Hasil titik peluh yang halal menjadikan jiwa kita sihat dan mempengaruhi personaliti diri. Jangan sesekali kita cemarinya dengan sesuatu yang haram, kotor dan makruh kerana ia menjadikan jiwa tidak tenteram, gelisah, diburu ketakutan dan menyalahi titah perintah Allah SWT.
Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW ada menceritakan kisah seorang lelaki yang kusut masai berada dalam kesusahan berdoa kepada Allah tetapi Allah tidak memakbulkan doanya. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya:
إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يُقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلُ يُطِيْلُ السَّفَرَ، أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدَّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغَذِيَ بِالحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابَ لَهُ
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Baginda kemudian menceritakan kisah seorang lelaki yang bermusafir, berambut kusut masai, berdebu, berdoa tidak henti-henti kepada Allah: Wahai tuhan! Wahai tuhan! Wahai tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya juga haram, pakaian yang membaluti badannya juga haram serta perutnya di kenyangkan dengan sumber yang haram, maka bagaimana doanya boleh diterima”. (Riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadith ini, jelas pengaruh pemakanan dan sumber pendapatan yang haram merosakkan kesempurnaan ibadah. Oleh itu, setiap muslim wajib membersihkan hartanya dari sebarang dosa agar doa dan ibadah diterima Allah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah, ibadah menjadi sia-sia. Bahkan lebih malang lagi, menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Mimbar bimbang, jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah akan menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah. Renungilah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 112:

Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.”


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berdasarkan petunjuk al-Qur’an dan as-Sunnah yang menjadi pegangan asasi kita, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa pengamal rasuah, penyalahguna kuasa, pengkhianat amanah dan mereka yang bersyubahat dengan amalan rasuah adalah pengkhianat kepada agama, rakyat dan satu Malaysia. Kita perlu ingat dan insaf, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi dan dapat membuat penilaian, pengukuran dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mencermini diri dan berusaha untuk memerangi jenayah rasuah, mengheret ikan jerung dan bilis dalam negara kita demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan hak rakyat didahulukan dan prestasi menghapus rasuah di utamakan.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka mimbar sekali lagi mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:
Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;
Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;
Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan
Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.
Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga dengan itu, iman kita terus bertambah dan dapat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan, serta menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah dalam surah Ali Imran:

Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104).

5 komen anda:

andyskynet said...

ditujukan pd yg xg solat jumaat ehehe sama ad laki or pompuan... juga pd yg pegi tp tido hihhi

Ichi said...

jangan letak2 je khutbah jumaat ni kat blog. bace habes dah ke? kalau dah habis, sila buat kesimpulan dan bg kat akak yep..haha

andyskynet said...

alamak... lom ag la ehehe... nnti la...

Ichi said...

dah agak dah. letak panjang lebar ingat akak nak bace ke?
kalau ye pun copy dr mana, bg la rase mcm boleh nak bace..
ni berpinar mata.. juling2..mcm icon dlm ym tu.. haha

andyskynet said...

alamak.... da kne berleter lg.. ehehe... mintak maaf ye akak.. hihihi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...